Sunday, February 16, 2014

MAJLIS TAKLIMAT PENGAKAP PPMWPKL UNTUK SEMUA PEMIMPIN SEKOLAH MENENGAH

Salam hormat.

Pada tarikh 15 Februari 2014 jam 9 pagi telah berlangsung majlis taklimat Pengakap PPMWPKL untuk semua Pemimpin Kumpulan sekolah Menengah seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis yang diadakan di Dewan Gemilang Pejabat Pendidikan Wilayah Pudu & Bangsar itu telah dihadiri oleh 78 orang Pemimpin Kumpulan.

Tetamu Kehormat majlis tersebut adalah Tuan Tajudin Bin Mohamad Mor dan sukacita beliau telah merasmikan majlis taklimat tersebut. Banyak kata-kata nasihat dan pengalaman yang telah diberikan oleh Tuan Tajudin Bin Mohamed Mor kepada semua sidang hadirin khususnya guru-guru.



Tuan Tajudin Bin Mohamad Mor merupakan seorang Timbalan Pengarah Pelajaran didalam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Didalam organisasi Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPMWPKL), beliau menjawat jawatan sebagai Pengerusi Majlis Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seluruh organisasi kepimpinan PPMWPKL amat bertuah dan menghargai kesudian Tuan Tajudin Bin Mohamad Mor untuk menyumbang tenaga dan pengalaman beliau dalam organisasi PPMWPKL.

Majlis taklimat tersebut telah berakhir pada jam 1.30 tengahari dan kesemua Pemimpin Kumpulan yang hadir jelas memahami kehendak PPMWPKL dalam perbagai misi khas untuk pelajar dan guru.



Tuesday, February 11, 2014

PROGRAM UJIAN LENCANA USAHA KELOLAAN PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Salam Pengakap;

Adalah dimaklumkan bahawa suatu program Ujian Lencana Usaha kelolaan Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diadakan pada tarikh 14 Februari 2014 sehingga 16 Februari 2014 bertempat di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Beserah Off Jalan Kuantan, 53200, Kuala Lumpur.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua ahli Pengakap sekolah menengah seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pendaftaran peserta akan bermula dari jam 3 petang.

Harap maklum.



MESYUARAT LEMBAGA PENTARAF PENGAKAP RAJA KEBANGSAAN DAN MENYUARAT PASUKAN LATIHAN NEGARA

Salam Pengakap;

Pada tarikh 7 haribulan Februari 2014 telah berlangsung mesyuarat Lembaga Pentaraf Pengakap Raja Kebangsaan di Pusat Latihan Pengakap (PULAPEM), Wisma Shafie Mohd Salleh, No.29, Jalan Taming Permai 1, Kawasan Perniagaan Taming Permai, 43300, Balakong, Selangor.

Mesyuarat yang bermula jam 3.00 petang itu telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia iaitu Dato' Raja Roslan bin Raja Samah. Selesai sahaja ucapan perasmian oleh Dato' Raja Roslan bin Raja Samah, hadirin mesyuarat menyaksikan upacara penyerahan tugas rasmi daripada Pesuruhjaya Latihan Negara Tuan Haji Shukor bin Mohsin kepada Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Pengakap Raja) Tuan Haji Abd Razak bin Haji Shahidan. Perjalanan mesyuarat Lembaga Pentaraf Pengakap Raja Kebangsaan kemudiaannya telah dipengerusikan sepenuhnya oleh Tuan Haji Abd Razak bin Haji Shahidan sehingga mesyuarat ditangguhkan.



Kemudian pada tarikh 8 dan 9 haribulan Februari 2014 telah berlangsung pula mesyuarat Pasukan Latihan Negara di lokasi yang sama. Mesyuarat Pasukan Latihan Negara telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Persekutuan Pengakap Malaysia iaitu Dato' Seri Paduka Dr. Aziz Jamaludin bin Mohd Tahir.

Selesai sahaja ucapan perasmian oleh Dato' Seri Paduka Dr. Aziz Jamaludin bin Mohd Tahir, mesyuarat Pasukan Latihan Negara telah dipengerusikan sepenuhnya oleh Pesuruhjaya Latihan Negara Tuan Haji Shukor bin Mohsin sehingga mesyuarat ditangguhkan.




Friday, January 31, 2014

PROGRAM KEMANUSIAAN PENGAKAP DI PAGOH DAN MUAR (EPISOD PAGOH)

Salam Pengakap.

Pada tarikh 19 haribulan Januari 2014, Pasukan Pengakap Kelana 'A' Angkasa telah memulakan aktiviti seterusnya bermula seawal jam 7.00 pagi. Tugasan pagi itu ialah membeli barangan keperluan dapur dipasar awam Pagoh.

Setelah membersihkan rumah yang kami diami untuk 2 malam yang lalu, ahli misi kemanusiaan telah menziarahi rumah Abang Ramli (berdiri tengah berbaju biru tua) yang telah menjadi jurupandu kami selama 2 hari untuk menunjukkan rumah warga miskin sekitar Kampung Raja tersebut.



Rombongan misi kemanusiaan tidak juga lupa menziarahi rumah Mak Uda (berdiri tengah bertudung hitam labuh) yang juga telah bertindak sebagai jurupandu sepanjang misi program. Mak Uda juga telah bertindak sebagai tukang masak sukarela untuk rombongan kami sepanjang 3 hari program berlangsung. Sedikit sumbangan ihsan dari rombongan misi kemanusiaan telah diserahkan kepada keluarga Abang Ramli dan Mak Uda tersebut.

Bersama Mak Uda

Rombongan misi kemanusiaan kemudian telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada 3 buah rumah keluarga yang terpilih.

Bersama Makcik Jariah

Ini adalah rumah terakhir yang rombongan kemanusiaan lawati, Rombongan menghabiskan masa dirumah ini bermula dari jam 11 pagi sehingga jam 2 petang.

Rumah Tok Sitam

Bersama Tok Sitam

Rumah ini didiami oleh seorang ibu tunggal bernama Makcik Sitam dan berumur 87 tahun. Antara perkara yang dilakukan oleh kami sepanjang berada disini ialah memasak, membersihkan rumah dan memperbaiki berberapa kerosakan rumah tersebut.

Perbaiki lampu suluh

Memasak

Pembaikan

Selesai makan tengahari bersama-sama tuan rumah, rombongan kemanusiaan telah juga sama-sama menunaikan solat Zhohor.

Makan Tengahari Bersama

Solat Jemaah

Kenangan

Selesai berbual bicara secara kekeluargaan dengan Makcik Sitam, rombongan kemanusiaan telah kembali ke Kuala Lumpur.

AKTIVITI PASUKAN PENGAKAP KELANA 'A' ANGKASA LEMBAH PANTAI MEMBANTU GELANDANGAN DIDALAM AKHBAR SINAR HARIAN

Salam Pengakap;

Hari ini Jumaat 31 haribulan Januari 2014, laporan aktiviti Pasukan Pengakap Kelana 'A' Angkasa Lembah Pantai berada didalam akhbar Sinar Harian.


Wednesday, January 22, 2014

MESYUARAT MAJLIS PESURUHJAYA PENGAKAP WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR SIRI 1/2014

Salam Pengakap;

Pada hari Selasa bertarikh 21 Januari 2014 jam 8.30 malam bertempat di Unit Sukan Titiwangsa telah dijalankan Mesyuarat Majlis Pesuruhjaya Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur siri pertama tahun 2014. Seramai 38 Pesuruhjaya telah hadir didalam mesyuarat tersebut.


Banyak isu telah disentuh untuk diperbincangkan dan dicari jalan penyelesaian. Antara isu yang diperbincangkan adalah pembahagian persempadanan kumpulan Pengakap didalam daerah, program Latihan, program Jambori Kuala Lumpur, program Pengakap Raja, Majlis Pengakap PPMWPKL dan sebagainya.

Syabas kepada semua Pesuruhjaya yang memberikan komitmen demi kecemerlangan kepengakapan tahun 2014 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

PERLANTIKAN SEBAGAI PENOLONG KETUA PESURUHJAYA NEGERI TUGAS-TUGAS KHAS, SETIAUSAHA PASUKAN LATIHAN DAN SETIAUSAHA LEMBAGA PENTARAF PENGAKAP RAJA

Salam Pengakap;

Dengan kehendak ALLAH SWT maka pada tanggal 1 Januari 2014, saudara Mohammad Saiful Bin Mansur selaku Pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 'A' Angkasa Lembah Pantai telah dilantik oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Tuan Haji Rofli Bin Mohamed sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Tugas-Tugas Khas.

Seperti biasa perlantikan ini telah diterima oleh saudara Mohammad Saiful Bin Mansur sebagai suatu amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan khidmat sukarela beliau demi kepentingan ahli-ahli Pengakap Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya dan Pergerakan Pengakap amnya.

Saudara Mohammad Saiful Bin Mansur seperti tahun-tahun terdahulu apabila ditanya komen beliau berkenaan perlantikan tersebut menjawab dengan bersahaja, "Pangkat yang diberikan adalah suatu bidang kuasa untuk saya melaksanakan tanggungjawab. Jikalau saya tidak mampu atau gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut maka saya akan meletakkan jawatan. Pangkat dan kuasa bukanlah suatu kemegahan bagi saya, bagi saya ia adalah suatu tanggungjawab dan ibadah untuk mendapatkan pahala."


Antara tugas-tugas khas yang perlu dikerjakan secara sukarela oleh saudara Mohammad Saiful Bin Mansur ialah bertindak selaku Setiausaha Pasukan Latihan Negeri dan Setiausaha Lembaga Pentaraf Pengakap Raja. Syabas kepada saudara Mohammad Saiful Bin Mansur, semoga ALLAH SWT memberikan saudara kekuatan, kemudahan, kejayaan dan pahala untuk kebajikan yang dilakukan. Amin Ya Rabbal Alamin.



Monday, January 20, 2014

PROGRAM KEMANUSIAAN PENGAKAP DI PAGOH DAN MUAR (EPISOD MUAR)

Salam Pengakap;

Pada hari Jumaat 17 haribulan Januari 2014 sehingga hari Ahad 19 haribulan Januari 2014 lalu, seramai 5 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa dan 5 orang ahli NGO dari Kuala Lumpur telah datang ke daerah Pagoh dan Muar untuk melaksanakan misi ziarah kemanusiaan kepada berberapa keluarga yang telah dikenal pasti.

Untuk episod ini saya kongsikan kisah sebuah keluarga yang berada dalam daerah Muar yang mengharungi kehidupan harian mereka dengan serba kekurangan. Rumah keluarga ini terletak di Kampung Parit Kachau, Seri Menanti, Muar, Johor. Perjalanan menuju ke rumah keluarga ini dari lokasi penginapan kami di Kampung Raja, Pagoh mengambil masa sekitar 2 jam. Ini kerana maklumat lengkap mengenai lokasi kediaman keluarga ini tiada dalam simpanan. Namun begitu hasil bantuan orang ramai, kediaman keluarga ini berjaya ditemui.


Jalan masuk ke lokasi kediaman keluarga ini perlu melalui jalan Parit Jamil. Keadaan jalan adalah kurang baik. Setelah menyusuri jalan Parit Jamil dan berberapa simpang jalan utama, akhirnya rombongan ziarah kemanusiaan selamat tiba ke lokasi kediaman keluarga yang kurang bernasib baik ini.




Kediaman yang daif ini dihuni oleh sepasang suami isteri, seorang bapa yang tidak siuman, seorang ibu tunggal iaitu anak kepada pasangan suami isteri tadi dan 2 orang cucu. Suami yang juga bertindak selaku ketua keluarga berkenaan pula kini mengalami penyakit usus yang menyebabkan beliau tidak boleh bekerja. Namun begitu kehadiran rombongan kemanusiaan kami tetap disambut dengan penuh mesra walau dalam segala kekurangan.


 

Dalam lawatan kemanusiaan yang singkat ini, ahli rombongan telah menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan kecil dalam bentuk wang tunai, barangan makanan dan pakaian.


Rombongan kemanusiaan ini juga telah meluangkan sedikit masa dengan membantu mengemas persekitaran rumah dan memperbaiki kerosakan-kerosakan kecil kediaman tersebut.


Diakhir lawatan, pihak keluarga yang kurang bernasib baik tersebut telah menzahirkan rasa syukur mereka ke hadrat Ilahi dan berterima kasih mereka kerana kunjungan kemanusiaan tersebut. Walaupun kemampuan yang dibawa oleh rombongan kemanusiaan ini adalah sangat terhad, namun ia adalah sangat besar ertinya kepada keluarga ini.


Ketika mana kita mewah dengan makanan enak yang melimpah, keluarga ini berdiam dalam kelaparan. Ketika mana kita membeli-belah pakaian yang mewah dan berjenama, keluarga ini hanya mengenakan baju yang telah usang dan koyak. Ketika mana kita sedang nyenyak tidur dalam keadaan penuh nyaman, keluarga ini pula sedang tidur beralaskan tikar buruk dan diselangi gigitan unggas. Ketika mana kita selamat didalam rumah sewaktu hujan turun, keluarga ini basah kesejukan oleh kerana atap rimah yang bocor.

Oleh itu semua rakyat Malaysia sekalian sewajarnya bersikap mempeduli. Tindakan yang bermanfaat dan segera perlu dilakukan. Ayuhlah bersama-sama membantu sesama kita yang memerlukan. Kepada semua rakyat Malaysia yang membaca blog ini, adalah amat diharap agar dapat turut sama membantu kami dalam usaha membantu keluarga yang kurang bernasib baik ini. Hulurkan bantuan anda terus kepada mereka atau boleh juga menghulurkan bantuan melalui kami.

Monday, January 13, 2014

SALAM MAULIDUR RASUL2014

Salam Pengakap;

Pasukan Pengakap Kelana Angkasa Lembah Pantai mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh Muslimin dan Muslimat.


Nabi Muhammad SAW bersabda;  “Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku.”



PESURUHJAYA ANTARABANGSA PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA MENINGGAL DUNIA

Salam Pengakap;

Dengan perasaan penuh hiba dimaklumkan bahawa saudara Eric Khoo Heng Pheng selaku Pesuruhjaya Antarabangsa Persekutuan Pengakap Malaysia telah meninggal dunia akibat serangan jantung hari ini.


Sunday, January 12, 2014

WATIKAH PERLANTIKAN KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Salam Pengakap;

Disini adalah watikah perlatikan Tuan Rofli Bin Mohamad sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Kepimpinan dan seluruh ahli Pasukan Pengakap Kelana 'A' Angkasa Lembah Pantai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berusaha Tuan Rofli Bin Mohamad atas perlantikan tersebut.

Seluruh ahli pasukan akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada pihak Tuan dalam misi memperkasakan pergerakan Pengakap khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. "SELAMAT BERTUGAS" kepada Tuan.

PROGRAM SUMBANGAN MAKANAN UNTUK GELANDANGAN SEKITAR KUALA LUMPUR


Salam Pengakap;

Semalam pada hari Sabtu bertarikh 11 Januari 2014 jam 11 malam telah dilaksanakan program Sumbangan Makanan Untuk Gelandangan disekitar lokasi strategik kotaraya Kuala Lumpur. Seperti kebiasaannya Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai telah memperuntukkan sejumlah 50 bungkusan makanan untuk diagih-agihkan kepada para gelandangan tersebut.



Seramai 6 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai telah terlibat didalam program kemanusiaan tersebut semalam. Program yang telah dilaksanakan semenjak 2 tahun yang lalu ini amat memberikan makna dan kesan yang mendalam kepada semua ahli Pengakap Kelana Kanan yang terlibat. Ini adalah suatu kaedah yang diguna pakai oleh Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai dalam menjalankan kewajiban sebagai sebuah pasukan Pengakap Kelana Kanan yang memberikan khidmat kemasyarakatan dan menyalurkan mesej murni.




Seorang gelandangan (gambar diatas) yang telah hampir 2 tahun dikenali sepanjang program ini amat menyanjung tinggi keprihatinan yang ditunjukkan oleh Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai. Menurut beliau lagi, ramai para gelandangan amat merindui kunjungan Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai dan NGO-NGO yang lain sepanjang masa. Ini kerana kunjungan-kunjungan tersebut kebiasaannya akan disertai dengan buah tangan yang sedikit sebanyak dapat mengalas kelaparan perut dan membantu sedikit keperluan kewangan mereka.

Gelandangan diatas juga mengucapkan jutaan terima kasih diatas bantuan perubatan yang sekali sekala diberikan oleh Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai. Beliau yang mengidap penyakit kencing manis yang serius memang memerlukan bantuan perubatan untuk meneruskan kehidupan yang serba terhimpit.



Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai ingin mengambil kesempatan disini, menyeru agar ramai lagi pihak-pihak lain yang sudi menyumbang kewangan dan makanan dengan membantu kami dalam misi murni ini. Sebarang bentuk sumbangan adalah amat-amat dialukan dan kaedah menyampaikan bantuan tersebut kepada kami boleh dirujuk maklumatnya didalam blog ini.


Semoga ALLAH SWT membalas budi dan jasa baik semua penyumbang dengan keberkatan kehidupan di dunia dan akhirat.

TAKLIMAT PENDAFTARAN TAHUNAN PASUKAN PENGAKAP KELANA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Salam Pengakap;

Semalam pada hari Sabtu bertarikh 11 Januari 2014 telah berlangsung sessi Fasa 1 program Taklimat Pendaftaran Tahunan Pasukan Pengakap Kelana bagi negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sessi taklimat tersebut telah dijalankan di Sekolah Kebangsann Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.


Seramai lebih daripada 50 orang ahli Pengakap negeri Wilayah Persekutuan telah hadir di sessi taklimat tersebut. Mereka terdiri daripada Ahli Majlis PPMWPKL, Pesuruhjaya PPMWPKL, Pemimpin Pasukan, Ahli Kelana Kanan dan Ahli Kelana dari pelbagai daerah yang berasingan.

Banyak maklumat berkenaan situasi semasa PPMWPKL dan takwim rancangan tahun 2014 PPMWPKL telah dikongsi dan diperolehi melalui sessi tersebut. Melalui perkongsian maklumat lengkap takwim tahunan ini, ahli-ahli PPMWPKL dapat melihat kehadapan dan seterusnya mengatur strategi kecil bersesuaian melalui pasukan dan kumpulan masing-masing.


Melalui sessi taklimat ini juga telah berjaya menemukan semula rakan-rakan sepengakapan yang telah lama tidak berjumpa. Banyak perkara yang dibincangkan dan dibualkan semasa sessi taklimat ini berlangsung. Semoga tahun 2014 ini memberikan semula keceriaan kepada Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai khususnya dan PPMWPKL secara amnya.