Monday, January 20, 2014

PROGRAM KEMANUSIAAN PENGAKAP DI PAGOH DAN MUAR (EPISOD MUAR)

Salam Pengakap;

Pada hari Jumaat 17 haribulan Januari 2014 sehingga hari Ahad 19 haribulan Januari 2014 lalu, seramai 5 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa dan 5 orang ahli NGO dari Kuala Lumpur telah datang ke daerah Pagoh dan Muar untuk melaksanakan misi ziarah kemanusiaan kepada berberapa keluarga yang telah dikenal pasti.

Untuk episod ini saya kongsikan kisah sebuah keluarga yang berada dalam daerah Muar yang mengharungi kehidupan harian mereka dengan serba kekurangan. Rumah keluarga ini terletak di Kampung Parit Kachau, Seri Menanti, Muar, Johor. Perjalanan menuju ke rumah keluarga ini dari lokasi penginapan kami di Kampung Raja, Pagoh mengambil masa sekitar 2 jam. Ini kerana maklumat lengkap mengenai lokasi kediaman keluarga ini tiada dalam simpanan. Namun begitu hasil bantuan orang ramai, kediaman keluarga ini berjaya ditemui.


Jalan masuk ke lokasi kediaman keluarga ini perlu melalui jalan Parit Jamil. Keadaan jalan adalah kurang baik. Setelah menyusuri jalan Parit Jamil dan berberapa simpang jalan utama, akhirnya rombongan ziarah kemanusiaan selamat tiba ke lokasi kediaman keluarga yang kurang bernasib baik ini.




Kediaman yang daif ini dihuni oleh sepasang suami isteri, seorang bapa yang tidak siuman, seorang ibu tunggal iaitu anak kepada pasangan suami isteri tadi dan 2 orang cucu. Suami yang juga bertindak selaku ketua keluarga berkenaan pula kini mengalami penyakit usus yang menyebabkan beliau tidak boleh bekerja. Namun begitu kehadiran rombongan kemanusiaan kami tetap disambut dengan penuh mesra walau dalam segala kekurangan.


 

Dalam lawatan kemanusiaan yang singkat ini, ahli rombongan telah menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan kecil dalam bentuk wang tunai, barangan makanan dan pakaian.


Rombongan kemanusiaan ini juga telah meluangkan sedikit masa dengan membantu mengemas persekitaran rumah dan memperbaiki kerosakan-kerosakan kecil kediaman tersebut.


Diakhir lawatan, pihak keluarga yang kurang bernasib baik tersebut telah menzahirkan rasa syukur mereka ke hadrat Ilahi dan berterima kasih mereka kerana kunjungan kemanusiaan tersebut. Walaupun kemampuan yang dibawa oleh rombongan kemanusiaan ini adalah sangat terhad, namun ia adalah sangat besar ertinya kepada keluarga ini.


Ketika mana kita mewah dengan makanan enak yang melimpah, keluarga ini berdiam dalam kelaparan. Ketika mana kita membeli-belah pakaian yang mewah dan berjenama, keluarga ini hanya mengenakan baju yang telah usang dan koyak. Ketika mana kita sedang nyenyak tidur dalam keadaan penuh nyaman, keluarga ini pula sedang tidur beralaskan tikar buruk dan diselangi gigitan unggas. Ketika mana kita selamat didalam rumah sewaktu hujan turun, keluarga ini basah kesejukan oleh kerana atap rimah yang bocor.

Oleh itu semua rakyat Malaysia sekalian sewajarnya bersikap mempeduli. Tindakan yang bermanfaat dan segera perlu dilakukan. Ayuhlah bersama-sama membantu sesama kita yang memerlukan. Kepada semua rakyat Malaysia yang membaca blog ini, adalah amat diharap agar dapat turut sama membantu kami dalam usaha membantu keluarga yang kurang bernasib baik ini. Hulurkan bantuan anda terus kepada mereka atau boleh juga menghulurkan bantuan melalui kami.

1 comment: