Sunday, October 17, 2010

PERSATUAN PENGAKAP SEKOLAH MENENGAH TEKNIK MENANG 11 ANUGERAH KOKURIKULUM

Salam Pengakap;

Sekalung tahniah kepada kepimpinan dan seluruh ahli Pengakap Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur diatas pencapaian cemerlang pada tahun ini dengan memenangi 11 anugerah bersempena dengan majlis hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur tahun 2010.

Majlis yang ceria tersebut telah berlangsung di Dewan Utama Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur pada pagi Jumaat yang indah 15 haribulan Oktober 2010.

Pencapaian yang membanggakan ini amat bererti bukan hanya kepada ahli-ahli Pengakap Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur tetapi juga kepada kepada seluruh kepimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu.

Semoga kecemerlangan sebegini akan berterusan dan lebih meningkat lagi pada tahun-tahun akan datang.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

PESURUHJAYA PENGAKAP DAERAH PUDU DIBERI PENGHORMATAN MERASMIKAN HARI ANUGERAH KOKURIKULUM SEKOLAH MENENGAH TEKNIK KUALA LUMPUR

Salam Pengakap;

Ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan khusus kepada pihak pentadbiran Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur diatas penghormatan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya selaku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu untuk merasmikan Hari Anugerah Kokurikulum Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur tahun 2010 yang telah berlangsung di Dewan Utama Sekolah Menengah Teknik pada hari Jumaat 15 haribulan Oktober 2010 yang lalu.

Penghormatan ini amat disanjungi bukan sahaja oleh diri saya sendiri secara peribadi tetapi juga oleh seluruh warga pentadbiran Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu amnya.

Budi dan penghargaan seluruh warga pentadbiran Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur tidak akan dilupakan selagi hayat dikandung badan. Semoga persefahaman yang telah sedia terjalin akan mempu mengorak kepada kecemerlangan pembelajaran Kokurikulum pada masa hadapan untuk para pelajar sekalian.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Sunday, September 19, 2010

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI KETUA PENGAKAP NEGARA

Salam Pengakap;

Seramai 2 orang Pesuruhjaya dan 3 orang Kelana Kanan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu telah menerima undangan Yang Dikasehi Ketua Pengakap Negara Dato' Seri Paduka Dr Haji Shafie Bin Haji Mohd Salleh ke Majlis Sambutan Aidil Fitri yang telah beliau adakan di Jalan Morib, Kuala Selangor pada tarikh 18 haribulan September 2010.

Jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada Yang Dikasehi Ketua Pengakap Negara Dato' Seri Paduka Dr Haji Shafie Bin Haji Mohd Salleh kerana jemputan ke majlis yang indah lagi diberkati tersebut. Semoga ALLAH S.W.T. melimpahkan rahmat, kesihatan dan kemakmuran keatas seluruh ahli keluarga Dato' Seri.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Wednesday, September 8, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1431 HIJRAH

Salam Pengakap;

Bersempena kedatangan fajar Syawal yang bakal menjelma, seluruh warga kerja Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat Islam yang menyambutnya dan Mohon Ampun Maaf diatas segala bentuk kekhilafan yang tidak disengajakan.

Marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk "Membuang semua perkara yang keruh dan mengambil apa sahaja yang jernih" Jadikanlah Hari Raya Aidil Fitri ini juga sebagai kesempatan untuk memperkukuhkan tali Silaturrahim yang telah sedia terjalin.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Sunday, September 5, 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA IBUPEJABAT PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA

Salam Pengakap;

Majlis berbuka puasa Ibupejabat Persekutuan Pengakap Malaysia telah diadakan di Rumah BP, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur pada tarikh 4 haribulan September 2010. Majlis yang penuh bermakna itu telah dihadiri oleh lebih 100 orang tetamu undangan yang terdiri daripada Pesuruhjaya-pesuruhjaya dan Pemimpin-pemimpin Pengakap dari serata negara. Antara kandungan aturcara majlis tersebut adalah dengan mengadakan Solat Sunat Tarawih sebanyak 8 Rakaat.

Seramai 7 orang Pesuruhjaya Pengakap dan 2 orang Pemimpin Pengakap dari Daerah Pudu juga telah turut sama hadir ke majlis tersebut. Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Ibupejabat Persekutuan Pengakap Malaysia diatas penghormatan dan jemputan ke majlis tersebut. Semoga melalui majlis yang mudah-mudahan diberkati oleh ALLAH S.W.T. ini akan mampu mengeratkan lagi tali Silaturrahim yang telah sedia terjalin.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Sunday, August 29, 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA MAYC WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Salam Pengakap;

Jutaan terima kasih kepada Puan Intandiana Binti Jalil selaku Presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang juga Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu kerana kesudian beliau menjemput berberapa Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa MAYC Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah berlangsung dengan jayanya hari ini 29 haribulan Ogos 2010 di Hotel Grand Pacific Jalan Ipoh.

Majlis bersifat kekeluargaan tersebut telah dirasmikan oleh Presiden MAYC Kebangsaan dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Berberapa kepimpinan kanan persatuan-persatuan belia seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut hadir bagi menyokong dan memeriahkan majlis tersebut.

"Tuah Ayam Nampak Dikaki, Tuah Manusia Hanya ALLAH Sahaja Yang Tahu". 5 buah hadiah istimewa termasuk hadiah utama acara selingan cabutan bertuah telah dimenangi oleh Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu. Syukur ke hadrat ALLAH S.W.T. diatas rezeki kurniaanya dan terima kasih yang tak terhingga kepada seluruh kepimpinan MAYC kerana ingatan dan penghormatan yang diberikan. Budi baik yang diberikan akan dikenang sepanjang hayat.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Wednesday, August 25, 2010

PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK ANJURAN IBUPEJABAT PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA

Salam Pengakap;

Seramai 6 oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu adalah antara yang terlibat dalam program khas memasak Bubur Lambuk sempena bulan Ramadan anjuran Ibupejabat Persekutuan Pengakap Malaysia.

Sejumlah 500 bungkus Bubur Lambuk kemudiannya telah diagih-agihkan kepada orang ramai sekitar Pasar Seni Kuala Lumpur.

Jutaan terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa dan keringat dalam menjayakan program murni ini dan semoga ianya dikurniakan oleh ALLAH S.W.T. dengan sebesar-besar ganjaran pahala.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

KELUARGA AHLI PENGAKAP DAERAH PUDU DAPAT BANTUAN AIDIL FITRI

Salam Pengakap;

Sebanyak 6 buah keluarga kurang berkemampuan yang mengandungi ahli keluarga yang juga ahli Pengakap dibawah pentadbiran Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu (PPMDP) telah mendapat bantuan khas dari Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sempena menyambut Syawal yang bakal menjelang.

Kesemua ahli Pengakap tersebut yang bersekolah disekitar kawasan Bandar Tun Razak dan Cheras telah dikenal pasti oleh sebuah pasukan khas yang ditubuhkan oleh pentadbiran PPMDP. Masaalah keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan ini telah diajukan oleh pentadbiran PPMDP terus ke pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan syukur ke hadrat Ilahi kerana usaha ini telah berjaya mendapatkan perhatian dari pihak Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sendiri.

Bantuan Aidil Fitri tersebut telah diserahkan sendiri oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada petang hari Ahad, 22 haribulan Ogos 2010 yang baru lalu. Setinggi ucapan terima kasih kepada pihak pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak diatas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu

Tuesday, August 10, 2010

PENGAKAP TROOP SM BANDAR TUN RAZAK TERIMA 6 ANUGERAH SEMPENA HARI KOKO

Salam Pengakap;

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua ahli Pengakap Troop Sekolah Menengah Bandar Tun Razak kerana berjaya menggondol 6 Anugerah Khas sempena sambutan hari Ko-Korikulum sekolah yang berlangsung pada tarikh 7 haribulan Ogos 2010 yang baru lalu. Ini secara langsung telah melonjakkan nama Pasukan Pengakap disekolah tersebut sebagai Persatuan Terbaik untuk tahun 2010.

Tidak dilupakan ucapan setinggi-tinggi terima kasih diatas jasa besar Pesuruhjaya, Pemimpin, Penolong Pemimpin dan semestinya Kuasa Penganjur Troop yang senantiasa menyokong sebarang aktiviti kepengakapan. Gigihkan usaha dan teruskan berpengakap demi kesinambungan Pengakap dimasa hadapan. Semoga setiap usaha yang dicurahkan akan dianugerahkan oleh Ilahi dengan sebesar-besar pahala.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

MESYUARAT MAJLIS PPMWPKL 2010

Salam Pengakap;

Mesyuarat Majlis Persekutuan Pengakap Malaysia negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah selamat dijalankan pada tanggal 7 haribulan Ogos 2010 bertempat di aras 29, Menara DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Pemilihan terbaru barisan pentadbiran Majlis dan ahli-ahli EXCO juga telah selamat dijalankan.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

UJIAN PENTARAFAN PENGAKAP RAJA WPKL

Salam Pengakap;

Seramai 37 orang Pengakap Remaja dari daerah Pudu dan Keramat telah selamat menjalani Ujian Pentarafan Pengakap Raja WPKL siri ke-2 tahun 2010 bertempat di Kem Harimau, Hulu Langat, Selangor.

Ujian pentarafan tersebut telah diketuai oleh Tuan AB Malek Bin Mat Sohot selaku Ketua Pentaraf dan dibantu oleh 5 orang Pentaraf dan berberapa Pembantu Pentaraf.

Keputusan rasmi kelulusan akan diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri WPKL selepas segala urusan penilaian diperolehi.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK

Salam Pengakap Dan Maaf Dzahir Batin Dari Seluruh Kepimpinan
Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu

Kemaafan Dimohon Seikhlas Hati,
Asas Utama Membersihkan Diri,
Menyambut Ramadan Yang Penuh Diberkati,
Agar ALLAH Mengasihani.

Kepada Sahabat Teman Dan Rakan,
Inilah Masa Memperbanyakkan Amalan,
Agar Dihari Kemudian Tersedia Bekalan,
Tiada Gusar Menghadap Tuhan.

Disiang Hari Puasa Terurus,
Dimalam Hari Bersolat Bertadarus,
Ibadah Dilaksana Hati Nan Tulus,
Disisi ALLAH Segalanya Lulus.

Tuesday, July 27, 2010

KURSUS MANIKAYU PENGENALAN KERJASAMA ANTARA DAERAH PUDU DAN KERAMAT

Salam Pengakap;

Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua jurulatih, peserta dan pembantu yang sudi menjayakan Kursus Manikayu Pengenalan anjuran bersama Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu dan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Keramat.

Kursus yang telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan St. John 1, Bukit Nanas, Kuala Lumpur telah berlangsung dengan jayanya pada tanggal 24 haribulan Julai 2010 yang lalu. Seramai 78 peserta telah mendaftarkan diri mereka sebagai peserta kursus pada hari tersebut.

Semoga segala informasi dan perkongsian pengalaman didalam kursus tersebut akan dapat dimanfaatkan dan dipraktikkan didalam kumpulan Pengakap masing-masing.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.