Tuesday, July 27, 2010

KURSUS MANIKAYU PENGENALAN KERJASAMA ANTARA DAERAH PUDU DAN KERAMAT

Salam Pengakap;

Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua jurulatih, peserta dan pembantu yang sudi menjayakan Kursus Manikayu Pengenalan anjuran bersama Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu dan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Keramat.

Kursus yang telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan St. John 1, Bukit Nanas, Kuala Lumpur telah berlangsung dengan jayanya pada tanggal 24 haribulan Julai 2010 yang lalu. Seramai 78 peserta telah mendaftarkan diri mereka sebagai peserta kursus pada hari tersebut.

Semoga segala informasi dan perkongsian pengalaman didalam kursus tersebut akan dapat dimanfaatkan dan dipraktikkan didalam kumpulan Pengakap masing-masing.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

UJIAN SIKAP DAERAH PUDU

Salam Pengakap;

Seramai 87 ahli Pengakap Remaja dari berberapa sekolah sekitar daerah Pudu telah menjalankan siri Ujian Sikap Pengakap Remaja yang telah berlangsung kemuncaknya di Kem Harimau, Hulu Langat, Selangor.

Kemuncak Ujian Sikap tersebut telah berlangsung pada tanggal 16 haribulan Julai 2010 sehingga 18 haribulan Julai 2010 yang lalu.

Syabas kepada yang berjaya dan jangan berputus asa kepada yang tidak berjaya. Ketahuilah bahawa setiap kejayaan itu pasti akan ada cabarannya dan setiap kegagalan itu pasti akan ada hikmahnya. Pandanglah setiap perkara yang berlaku dari sudut yang positif.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Wednesday, July 14, 2010

KURSUS PERTOLONGAN CEMAS KELANA WPKL

Salam Pengakap;

Sebuah kursus Pertolongan Cemas Pengakap Kelana anjuran Majlis Pengakap Kelana Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sedikit kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu telah selamat dilaksanakan di Sekolah Menengah Bandar Tun Razak, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada tarikh 9 haribulan Julai 2010 sehingga tarikh 11 haribulan Julai 2010.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Majlis Pengakap Kelana Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana sudi bertandang ke daerah Pudu dan memilih sekolah tersebut sebagai lokasi aktiviti. Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu tetap bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya dalam menjayakan apa sahaja bentuk program Pengakap atau apa sahaja program bermanfaat untuk kalangan belia.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

PROGRAM PELAYARAN KAPAL BELIA ASIA 2010

Salam Pengakap;

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Abdul Muiz Bin Misri selaku Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu yang telah berjaya melayakkan diri beliau untuk menyertai program peringkat antarabangsa berprestij tinggi ini yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negara Jepun.


Program ini adalah berbentuk pelayaran selama 3 bulan dan akan singgah ke destinasi negara-negara peserta untuk mempelajari adat dan cara hidup masyarakat di negara tersebut. Pelayaran program ini akan bermula di Jepun dan akan singgah ke 9 buah destinasi. Di setiap negara destinasi, peserta akan diberikan sebuah keluarga angkat dan akan tinggal dengan keluarga angkat tersebut selama 3 hari.

Setiap negara peserta akan diwakili oleh 30 orang pelayar. Saingan dalam pemlihan pelayar untuk mewakili Malaysia adalah sangat sengit dan semua calun dinilai dari pelbagai aspek. Saudara Abdul Muiz telah berjaya meletakkan diri beliau dalam senarai 30 pelayar negara selepas melalui penapisan insentif dari hampir 900 permohonan.

Antara individu lain yang pernah berjaya melayakkan diri menyertai Program Pelayaran Belia Asia ini adalah saudara Ahmad Ridhwan Bin Ahmad Baihaki pada tahun 2007. Lebih membanggakan adalah apabila saudara Ahmad Ridhwan telah terpilih sebagai Ketua Kontinjen Malaysia pada waktu itu.

Begitu juga dengan saudara Mohd Khairul Afendy Bin Md Aziz yang pernah berjaya melayakkan diri sebagai pelayar KD Tunas Samudera pada tahun 2004 dan KD Puteri Mahsuri pada tahun 2006.

Syabas diucapkan kepada semua individu diatas dan semestinya doa teristimewa kepada saudara Abdul Muiz yang dijangka akan memulakan pelayaran beliau selepas Hari Raya Puasa nanti. Semoga saudara Abdul Muiz senantiasa selamat dalam pelayaran, dilindungi ALLAH SWT dan selamat kembali semula ke tanahair.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Wednesday, July 7, 2010

UJIAN LENCANA KEMAHIRAN PENGAKAP REMAJA

Salam Pengakap;

Seramai 34 orang ahli Pengakap Remaja dari Daerah Pudu telah menyertai Program Latihan dan Ujian Lencana Kemahiran Pengakap Remaja bertempat di Kem Harimau PPM Daerah Pudu, Hulu Langat, Selangor.

Ujian dan perkhemahan tersebut telah berlangsung pada tarikh 2 haribulan Julai sehingga 4 haribulan Julai 2010. Pelbagai topik-topik kemahiran penting Pengakap Remaja telah dijalankan dan segalanya telah berlangsung dengan sempurna.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.