Thursday, April 29, 2010

UJIAN LENCANA EKSPEDISI PENGAKAP REMAJA SIRI 3/2010

Salam Pengakap;

Atas permintaan pelbagai pihak, suatu ujian Lencana Ekspedisi Pengakap Remaja siri 3/2010 anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu akan diadakan pada tarikh 8 haribulan Mei 2010 sehingga 9 haribulan Mei 2010.

Ujian Lencana Ekspedisi ini adalah berbentuk pengembaraan berjalan kaki sejauh 40 kilometer sepertimana yang disyaratkan didalam sekim latihan Pengakap Remaja Malaysia. Semua peserta perlu melaporkan diri untuk pendaftaran tidak lewat dari jam 8.00 pagi di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak (berdekatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur).

Semua peserta wajib memakai pakaian seragam lengkap Pengakap sepanjang menjalani ujian ekspedisi. Makanan dan minuman sepanjang ekspedisi setiap peserta adalah tanggungjawab peserta sendiri. Peserta ekspedisi akan bermalam di Ibupejabat Pengakap Malaysia, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur semasa menjalankan ekspedisi.

Untuk yang berminat menyertai sila emailkan maklumat Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan dan Nama Sekolah kepada Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu secepat mungkin. Sila bawa surat kebenaran Ibubapa dan sekolah pada waktu pendaftaran.
Kegagalan menyediakan mana-mana perkara diatas akan menyebabkan ahli Pengakap tersebut hilang kelayakan untuk menyertai ujian tersebut.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Tuesday, April 27, 2010

PROGRAM ANTI DADAH DAN KURSUS LENCANA PENGAKAP PPM DAERAH PUDU

Salam Pengakap;

Suatu Program Anti Dadah dan Kursus Lencana Pengakap telah selamat dilaksanakan pada hari Sabtu dan Ahad 24 haribulan April 2010 sehingga 25 haribulan April 2010. Program tersebut telah dihadiri oleh 105 ahli Pengakap Daerah Pudu yang terdiri daripada 16 buah sekolah. Peserta telah didedahkan berkenaan bahaya penyalahgunaan dadah dari sudut penglibatan, penagihan dan kesannya.

Semoga kursus seperti ini dapat menyedarkan ahli Pengakap akibat bahaya penyalahgunaan dadah dan program ini sebenarnya adalah sebahagian daripada usaha PPM Daearah Pudu dalam membantu kerajaan Malaysia memerangi masaalah gejala penyalahgunaan dadah.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

UJIAN LENCANA KEAHLIAN SK SERI TASIK TROOP 243 PUDU

Salam Pengakap;

Ucapan jutaan terima kasih diucapkan kepada kepimpinan SK Seri Tasik Troop 243 Pudu terutamanya Cikgu Norizan selaku Pemimpin Troop dan Cikgu Zulkifli selaku Penolong Pemimpin Troop diatas jemputan kepada kepimpinan PPM Daerah Pudu untuk bersua muka dan sekaligus berinteraksi dengan ahli-ahli Pengakap Troop 243. Diharap usaha mulia seperti ini diteruskan dan lipat gandakan lagi hendaknya.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Thursday, April 22, 2010

BERITA PENGAKAP PUDU DIDALAM AKHBAR SINAR 22 APRIL 2010

Salam Pengakap;

Berita PPM Daerah Pudu didalam akhbar Sinar 22 April 2010.

Wednesday, April 21, 2010

UJIAN LENCANA EKSPEDISI PENGAKAP REMAJA SIRI 2-2010

Salam Pengakap;

Setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Ahmad Ridhwan Bin Ahmad Baihaki (Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu - Kelana 1) dan saudara Abdul Muiz Bin Misri (Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu - Kelana 2) diatas kejayaan cemerlang menganjurkan Ujian Ekspedisi Siri 2/2010 di Gunung Nuang, Hulu Langat pada tanggal 17 dan 18 April 2010 lalu.

Seramai 78 orang Pengakap telah terlibat dalam ujian Ekspedisi Pengakap Remaja ini dan saya mengkategorikan mereka semuanya telah berjaya lulus ujian tersebut. Komitmen sebegini tinggi daripada Pesuruhjaya, Pemimpin dan Pengakap amatlah dialukan untuk menuju kejayaan pergerakan Pengakap yang lebih cemerlang.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Sunday, April 18, 2010

PROGRAM ANTI DADAH & KURSUS LENCANA PENGAKAP

Salam Pengakap;

Dimaklumkan bahawa satu Program Anti Dadah & Kursus Lencana Pengakap akan diadakan pada 24 hingga 25 haribulan April 2010 bertempat di Pejabat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Jalan Ledang, Kuala Lumpur (bersebelahan bangunan Parlimen Malaysia).

Program akan dijadualkan bermula dari jam 10 pagi 24 haribulan April 2010 sehingga jam 5 petang 25 haribulan April 2010.

Yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM15.00 untuk setiap peserta bagi tujuan penyediaan makanan peserta selama 2 hari, sijil peserta dan peralatan latihan peserta. Peserta perlu membawa khemah, pakaian seragam Pengakap, pakaian aktiviti, kapak @ parang, tali Pengakap dan buku log Pengakap.

Peserta akan didedahkan dengan modul bahaya penyalahgunaan Dadah dan aktiviti lencana Pengakap.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

PERKHEMAHAN PENGAKAP ISTIMEWA SMK SERI TASIK TROOP 249 PUDU

Salam Pengakap;

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tasik telah menganjurkan program perkhemahan untuk Pengakap Istimewa di perkarangan SMK Seri Tasik pada 16 dan 17 April 2010 lalu dengan penyertaan seramai 43 ahli Pengakap Istimewa, 11 Pemimpin Pengakap dan 3 jurulatih PPM Daerah Pudu.

Syabas yang tak terhingga diatas inisiatif dan kejayaan para Pemimpin Troop 249 Pudu kerana program yang telah dianjurkan. Kesemua ahli Pengakap Istimewa tersebut yang mengalami masaalah kecacatan akal telah juga memberikan kerjasama dan menunjukkan minat yang tinggi dalam aktiviti kepengakapan. Semoga segala usaha murni Pemimpin Troop 249 Pudu diberkati oleh ALLAH SWT dan diperkasakan lagi hendaknya.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

KURSUS PERKHEMAHAN MAYC WPKL

Salam Pengakap;

Suatu Kursus Latihan Perkhemahan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) WPKL telah diadakan di Sungai Congkak, Selangor pada 10 hingga 11 April 2010 yang lalu. Kursus tersebut telah dihadiri oleh 59 ahli MAYC WPKL dan 6 jurulatih PPM Daerah Pudu.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Presiden MAYC WPKL diatas kepercayaan yang diberikan kepada PPM Daerah Pudu untuk melatih ahli-ahli MAYC WPKL dalam teknik dan pengetahuan berkenaan alam perkhemahan dan perhutanan. Semoga persahabatan yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.


LATIHAN SIMPULAN & IKATAN SMK DATOK LOKMAN

Salam Pengakap;

Syabas dan tahniah kepada Pemimpin Sekolah Menengah Datok Lokman diatas inisiatif dan komitmen dalam merealisasikan sessi Latihan Simpulan dan Ikatan untuk ahli Troop 77 Pudu bersama jurulatih PPM Daerah Pudu. Seramai 43 ahli Pengakap Troop 77 Pudu dan 3 jurulatih PPM Daerah Pudu telah terlibat dalam sessi latihan tersebut.

Secara dasarnya saya sebagai Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu sangat berpuas hati dengan program tersebut dan saya yakin bahawa sebahagian daripada mereka akan berjaya mencapai tahap sebagai seorang Pengakap Raja.

Pesuruhjaya Daerah.

Monday, April 12, 2010

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL ANUGERAH PENGAKAP RAJA & PINGAT PPM PERINGKAT PPMWPKL 2010

Salam Pengakap;

Majlis penyampaian Sijil Anugerah Pengakap Raja, Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Manik Kayu Kepimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia peringkat negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah selamat diadakan dengan jayanya pada hari Sabtu tanggal 6 Mar 2010 yang lalu bertempat di Dewan Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Tahniah diucapkan kepada 16 orang Pengakap Raja PPM Daerah Pudu diatas kejayaan melayakkan diri mereka menjadi seorang Pengakap Raja. Kepada semua kepimpinan PPM Daerah Zon Pudu, Pemimpin Kumpulan dan Pengakap yang terlibat dalam merealisasikan majlis tersebut saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga diatas tenaga yang dicurahkan.

Sekalung tahniah juga kepada Saudari Aini Shuhada Binti Sulaiman dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur, Kumpulan 121 Pudu kerana terpilih menerima Pingat Akademik Cemerlang Persekutuan Pengakap Malaysia diatas kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Ikhlas dari Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu