Sunday, January 12, 2014

PROGRAM SUMBANGAN MAKANAN UNTUK GELANDANGAN SEKITAR KUALA LUMPUR


Salam Pengakap;

Semalam pada hari Sabtu bertarikh 11 Januari 2014 jam 11 malam telah dilaksanakan program Sumbangan Makanan Untuk Gelandangan disekitar lokasi strategik kotaraya Kuala Lumpur. Seperti kebiasaannya Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai telah memperuntukkan sejumlah 50 bungkusan makanan untuk diagih-agihkan kepada para gelandangan tersebut.



Seramai 6 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai telah terlibat didalam program kemanusiaan tersebut semalam. Program yang telah dilaksanakan semenjak 2 tahun yang lalu ini amat memberikan makna dan kesan yang mendalam kepada semua ahli Pengakap Kelana Kanan yang terlibat. Ini adalah suatu kaedah yang diguna pakai oleh Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai dalam menjalankan kewajiban sebagai sebuah pasukan Pengakap Kelana Kanan yang memberikan khidmat kemasyarakatan dan menyalurkan mesej murni.




Seorang gelandangan (gambar diatas) yang telah hampir 2 tahun dikenali sepanjang program ini amat menyanjung tinggi keprihatinan yang ditunjukkan oleh Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai. Menurut beliau lagi, ramai para gelandangan amat merindui kunjungan Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai dan NGO-NGO yang lain sepanjang masa. Ini kerana kunjungan-kunjungan tersebut kebiasaannya akan disertai dengan buah tangan yang sedikit sebanyak dapat mengalas kelaparan perut dan membantu sedikit keperluan kewangan mereka.

Gelandangan diatas juga mengucapkan jutaan terima kasih diatas bantuan perubatan yang sekali sekala diberikan oleh Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai. Beliau yang mengidap penyakit kencing manis yang serius memang memerlukan bantuan perubatan untuk meneruskan kehidupan yang serba terhimpit.



Pasukan Pengakap Kelana A Angkasa Lembah Pantai ingin mengambil kesempatan disini, menyeru agar ramai lagi pihak-pihak lain yang sudi menyumbang kewangan dan makanan dengan membantu kami dalam misi murni ini. Sebarang bentuk sumbangan adalah amat-amat dialukan dan kaedah menyampaikan bantuan tersebut kepada kami boleh dirujuk maklumatnya didalam blog ini.


Semoga ALLAH SWT membalas budi dan jasa baik semua penyumbang dengan keberkatan kehidupan di dunia dan akhirat.

1 comment: