Tuesday, December 31, 2013

Salam Pengakap;

Ibu pejabat Pengakap dunia bakal pindah ke Malaysia

Petikan daripada Bernama

Ibu Pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) yang berpangkalan di Genneva, Switzerland akan berpindah ke Kuala Lumpur bermula tahun hadapan, kata Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil persetujuan sebulat suara 186 negara yang inginkan negara Asia Pasifik menjadi pangkalan WOSM.

"Kita telah membincangkannya semasa persidangan WOSM di Brazil tiga tahun lepas dan negara seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia juga berminat, namun Malaysia telah terpilih," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Baden Powell kepada 21 orang penerima di Kajang semalam.

Beliau berkata pengisytiharaan perpindahan itu akan dibuat di Parlimen pada Februari tahun hadapan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Agung Pengakap Malaysia.

Shafie berkata ibu pejabat tersebut akan ditempatkan di Brickfields yang kini kerja pengubahsuaian sedang giat dijalankan.

Beliau berkata diharapkan dengan wujudnya ibu pejabat pengakap sedunia di Malaysia, lebih ramai pemimpin tempatan serta rakyat akan menyertai pergerakan pengakap di Malaysia dan sekaligus menjadi ketua pengakap antarabangsa.

Sementara itu seorang penerima anugerah berprestij tersebut, Shazwani Mokhtar, 20, berkata penampilannya yang berpurdah tidak menghalangnya untuk menyertai aktiviti lasak dalam aktiviti pengakap sehingga menerima anugerah.

"Pada mulanya saya menyertai pengakap di tempat saya belajar iaitu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tahun lepas untuk memenuhi syarat kredit. Selepas itu saya terus menyertai Kumpulan Latihan Kelana Siswa Malaysia sebelum menerima anugerah ini," katanya.

Beliau yang kini berada dalam tahun dua jurusan Usuluddin berkata walaupun pelbagai aktiviti lasak harus dilakukannya, namun semua itu tidak menjadi halangan kepadanya.

Monday, December 30, 2013

Assalamualaikum dan Salam Pengakap.
Saya akan memperbaharui semula pendaftaran tahunan Pasukan Pengakap Kelana 'A' Angkasa Lembah Pantai dalam masa yang terdekat ini. Kepada ahli lama dan ahli baharu yang ingin mendaftar sebagai ahli pasukan ini, sila berikan kepada saya butiran berikut;

1. Nama Penuh
2, Nombor MyKad
3. Alamat Rumah
4. Nombor Telefon
5. Pekerjaan

*** Sila hantar kepada saya semua maklumat diatas selewatnya pada tarikh 17 January 2014 kerana dijangkakan pada 18 January 2014 akan dijalankan pendaftaran kumpulan dan pasukan Pengakap peringkat negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sekolah Rendah Padang Tembak Jalan Semarak Kuala Lumpur.

*** Suatu mesyuarat khas awal tahun Pasukan akan diadakan selepas selesai proses pendaftaran tahunan Pasukan.
Harap maklum.

Wednesday, December 25, 2013

Salam Pengakap;

Kali ini saya ingin berkongsi berkenaan golongan gelandangan di Kuala Lumpur. Gelandangan bermaksud orang-orang yang tiada pekerjaan dan tempat tinggal yang tetap. Kebiasaannya kelibat mereka mudah dilihat tidur ditepi kaki lima premis perniagaan, hentian bas, rumah ibadat, tempat tumpuan awam, kawasan pejabat mahupun dibawah jambatan. Selagi mana ada tempat yang teduh dan kering adalah cukup memadai bagi golongan ini untuk tumpang bermalam melepaskan penat.

Golongan gelandangan ini bukan semuanya tiada pekerjaan atau karier untuk menampung keperluan harian kehidupan mereka. Ada diantara mereka yang memiliki pekerjaan tetap tetapi mereka tidak mampu untuk menyewa rumah mahupun sebuah bilik di ibukota Kuala Lumpur. Kebiasaanya rezeki yang diperolehi oleh golongan gelandangan ini hanya cukup untuk menampung kos berkenaan makanan, minuman dan keperluan asas harian mereka sahaja. Ada juga diantara golongan gelandangan ini yang dikenal pasti pemalas untuk bekerja namun begitu perkiraannya hanya sebilangan kecil sahaja.

Untuk pengetahun semua, sebilangan besar golongan gelandangan ini adalah dari kelompok warga emas yang mana tenaga, kesihatan dan peluang pekerjaan untuk mereka adalah amat terbatas. Ramai juga diantara golongan gelandangan ini menderita akibat pelbagai jenis penyakit kronik. Terdapat juga kes golongan ini yang menderita sehinggakan anggota utama badan mereka sudah tidak mampu untuk digerakkan. Ada diantara golongan ini juga mendakwa bahwa mereka pernah ditipu dan menyebabkan mereka terkandas di Kuala Lumpur.

Apa pun sebab musababnya, mereka juga adalah manusia yang sama seperti kita yang bernasib lebih baik. Golongan ini pernah meluahkan keinginan mereka untuk hidup secara normal jika berpeluang. Persoalannya adakah kita sanggup membiarkan mereka kelaparan sedangkan kita bermewahan dengan makanan. Adakah berperi kemanusiaan bagi kita sanggup melihat mereka tidur dimerata-rata tempat sedangkan kita lena diatas katil empuk yang hangat.


Diatas kesedaran itu maka sejak Januari 2013, berberapa ahli Pasukan Pengakap Kelana ‘A’ Angkasa Lembah Pantai telah berkolaberasi dengan sebuah NGO yang dikenali sebagai Azizi Anas Society Group (AASG). Atas dasar peri kemanusiaan kelompok kecil warga kota Kuala Lumpur ini telah mengambil tanggungjawab itu membantu golongan gelandangan ini mengikut kemampuan yang terhad. Misi kemanusiaan yang sihat ini telah dilaksanakan pada setiap bulan minggu yang pertama.

Perbincangan strategi akan dibuat setiap kali sebelum operasi bermula.

Sedikit rakaman aktiviti untuk dikongsi.

Sambil menghulurkan makanan para sukarelawan juga bertegur sapa dan bertanyakan khabar golongan gelandangan.

Sessi perbincangan diantara sukarelawan akan dilaksanakan setiap kali apabila misi selesai.

Tuesday, December 24, 2013

Salam Pengakap;

Saya selaku Pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 'A' Angkasa Lembah Pantai Kuala Lumpur ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2014. Khusus ucapan ini saya tujukan kepada kepimpinan tertinggi Pengakap di Persekutuan Pengakap Malaysia, semua kenalan ahli Pengakap seluruh Malaysia, semua kenalan Pengakap seluruh dunia dan kepada semua rakyat Malaysia.


Marilah kita sama-sama berdoa kehadrat ALLAH SWT semoga tahun baharu 2014 yang bakal menjelma tidak lama lagi ini memberikan kita sinar baharu dalam arena kepengakapan khususnya dan kesejahteraan bersama. Banyak pendapat menyatakan bahawa tahun 2014 yang bakal tiba adalah tahun yang amat mencabar ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya. Namun begitu ayuh kita lihat daripada perspektif positif semoga semangat dalam menghadapi hari-hari mendatang itu tetap utuh.

Ayuhlah kita sama-sama berganding bahu menanam azam baharu dalam mengusahakan pendidikan ilmu kepengakapan kepada para ahli Pengakap yang ada hari ini agar kita semua selaku sebuah keluarga besar Pengakap di Malaysia sama-sama bakal mendapat manfaatnya. Bentukkan matlamat jelas dan berusahalah untuk mencapai matlamat itu dengan penuh semangat jiwa Pengakap yang sejati.

Sekali lagi saya mengucapkan ucapan Selamat Tahun Baru 2014 dan Selamat Berpengakap.