Monday, May 31, 2010

PROGRAM MINUM SUSU SEDUNIA BERSAMA DUTCH LADY

Salam Pengakap;

Tahniah kepada peserta-peserta program Minum Susu Sedunia tajaan Dutch Lady (Malaysia) Sendirian Berhad yang telah diadakan di perkarangan Pavilion, Bukit Bintang pada hari Ahad 30 haribulan Mei.

Seramai 74 ahli-ahli Pengakap Daerah Pudu, WPKL yang terdiri daripada berberapa sekolah telah hadir bagi menyokong program yang julung-julung kali diadakan ini. Nama-nama peserta yang hadir telah dimasukkan kedalam buku 'Guiness Book Of Record' sebagai satu catatan sejarah dimana ribuan manusia diseluruh dunia meminum susu dalam masa yang sama.

Sekalung tahniah yang tak terhingga kepada Penolong-penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu dan ahli Pengakap Kelana diatas kejayaan mengemudi dalam menyokong program tersebut. Penghargaan khas ditujukan kepada saudara Mohd Rafaei Bin Majid dan saudara Norazlan Bin Zainuddin yang telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk mengetuai program ini.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu

Sunday, May 23, 2010

UJIAN PENTARAFAN PENGAKAP RAJA WPKL 2010

Salam Pengakap;

Suatu mesyuarat Lembaga Pentaraf Pengakap Raja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah bersidang hari ini dan memutuskan untuk melaksanakan Ujian Pentarafan Pengakap Raja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2010 khas untuk daerah Pudu dan Keramat pada akhir bulan Julai 2010.

Oleh yang sedimikian seluruh calon-calon Pengakap Raja dari PPM Daerah Pudu WPKL diminta menyediakan diri sebelum tiba tarikh tersebut. Harap maklum.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu

MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN BELIA KAWASAN BATU

Salam Pengakap,

Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu telah diberi penghormatan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Kawasan Batu pada hari ini 23 haribulan Mei 2010 jam 10.00 pagi di Hotel Brisdale Kuala Lumpur. Turut hadir ke mesyuarat tersebut adalah berberapa wakil ajensi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran WPKL, JAWI, DBKL, Polis, AADK dan pelbagai lagi untuk membincangkan dan membantu warga belia dalam berberapa perkara dan isu yang berbangkit.

Atas alasan-alasan tertentu, PPM Daerah Pudu dijemput menghadirkan diri sebagai pemerhati perjalanan penuh mesyuarat tersebut kerana PPM Daerah Pudu tidak merupakan sebahagian dari Majlis Perundingan Belia Kawasan Batu. Namun begitu PPM Daerah Pudu telah merakamkan ucapan jutaan terima kasih diatas jemputan tersebut semasa perjalanan mesyuarat dan juga diatas sedikit ruang keizinan yang diberikan oleh Pengerusi Mesyuarat untuk PPM Daerah Pudu menyatakan pendapat dan memberikan ulasan.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden Majlis Belia Malaysia dan antara tetamu VIP yang turut hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Tuesday, May 18, 2010

JAMBORI 1 BELIA 1 MALAYSIA

Salam Pengakap,

Seramai 13 orang Pesuruhjaya, 8 Pemimpin Kumpulan dan 137 orang ahli Pengakap daerah Pudu telah melibatkan diri didalam program Jambori 1 Belia 1 Malaysia sempena sambutan Hari Belia negara 2010. Program Jambori ini telah berlangsung di Kawasan Perkhemahan Wetland, Putrajaya bermula dari tarikh 14 Mei 2010 sehingga 16 Mei 2010.

Tahniah kepada semua peserta yang berjaya mengharungi program Jambori tersebut walaupun dengan penuh ketidakselesaan dan kekurangan. Jadikan ia sebahagian kenangan manis dalam episod kehidupan kita.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu

Wednesday, May 12, 2010

PROGRAM UJIAN LENCANA PERKHIDMATAN PENGAKAP REMAJA

Salam Pengakap;

Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu akan menganjurkan Ujian Lencana Perkhidmatan Pengakap Remaja bermula pada tarikh 5 haribulan Jun 2010 sehingga 6 haribulan Jun 2010 bertempat di Pejabat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Jalan Ledang, Kuala Lumpur.

Intipati program ini akan melatih Pengakap Remaja berkenaan Pertolongan Cemas, C.P.R., Menyelamat Nyawa dan Memadam Kebakaran. Jurulatih-jurulatih mahir seperti JPA3 dan Bomba Malaysia telah diundang untuk memberikan tunjuk ajar. Kepada yang berminat sila hubungi pentadbiran PPM Daerah Pudu yang berkaitan sebelum akhir bulan Mei 2010.

Sila abaikan notis awal yang telah dikeluarkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah baru-baru ini. Notis baru akan disusuli dalam masa yang terdekat.
Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu

Monday, May 10, 2010

53 AHLI PENGAKAP DAERAH PUDU SELAMAT MENAMATKAN UJIAN BERJALAN KAKI 45 KILOMETER LENCANA EKSPEDISI PENGAKAP REMAJA

Salam Pengakap,

Seramai 53 ahli Pengakap Daerah Pudu telah berjaya menamatkan ujian Ekspedisi Pengakap Remaja yang bermula di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada hari Sabtu 8 haribulan Mei 2010.

Jarak perjalanan sejauh 45 kilometer untuk ujian Lencana Ekspedisi Pengakap Remaja siri ke-3 tahun 2010 ini telah berjaya ditamatkan dalam tempoh 2 hari oleh semua peserta. Syukur kehadrat ALLAH SWT diatas perlindungan dan kekuatan yang diberikan kepada semua peserta dan petugas.

Sekalung tahniah khas kepada Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu (Pengakap Laut 1), saudara Mohd Zakaria Bin On merangkap Pengarah Program kerana berjaya mengemudikan program tersebut beserta dengan bantuan Kelana kumpulan B Pudu (Pahlawan). Pentadbiran Persekutuan Malaysia Daerah Pudu sangat menghargai usaha sebegini rupa dan diucapkan jutaan terima kasih dan syabas.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

PESURUHJAYA PENGAKAP DAERAH PUDU TERIMA PINGAT JASA PENGAKAP

pingat jasa pengakap
Salam Pengakap dan Salam 1 Malaysia,

Seluruh barisan kepimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu, Encik Mohammad Saiful Bin Mansur diatas penganugerahan Pingat Jasa Pengakap kepada beliau oleh Dato' Seri Ketua Pengakap Negara dalam suatu majlis ringkas di Hotel Dynasty Jalan Ipoh pada hari Sabtu 8 haribulan Mei 2010 yang baru lalu.

Semoga dengan penganugerahan dan pengiktirafan ini akan menambahkan lagi semangat dan kesungguhan beliau untuk menerajui tampok kepimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu.

Ahmad Norsyarizan Bin Md Isa
Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu (Perhubungan)

Sunday, May 9, 2010

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KEWANGAN JAMBORI KEBUDAYAAN SERUMPUN

Syukur ke hadrat ALLAH SWT diatas pertolongan yang diberikan dimana Kontinjen Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Jambori Kebudayaan Serumpun Malaysia & Indonesia telah diberikan bantuan kewangan oleh Yang Berhormat Dato' Raja Nong Chik Bin Dato' Raja Zainal Abidin selaku Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merangkap Presiden Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Majlis yang sangat sederhana tersebut telah berlangsung pada hari Jumaat 7 haribulan Mei 2010 jam 10.00 pagi di Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah juga dihadiri oleh Tuan Major Mior Rosli Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WPKL, Saudara Mohammad Saiful Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu, Saudara Ahmad Norsyarizan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu dan Saudara Riza Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu. Berberapa persetujuan dasar, strategi dan matlamat telah juga dicapai bersama dalam sessi perbincangan bersama Yang Berhormat Menteri.

Selaku Ketua Kontinjen Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Jambori tersebut, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Kontinjen yang kesemuanya dari Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu kerana usaha gigih dalam mencari penajaan dan kini telah membuahkan berberapa hasil. Semoga usaha murni tuan-tuan dan puan-puan sekalian dilimpahi ILAHI dengan ganjaran pahala yang setimpal.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu.

Sunday, May 2, 2010

ARKIB KERATAN AKHBAR BERKENAAN PENGAKAP PUDU

Saturday, May 1, 2010

BERITA PENGAKAP PUDU DIDALAM AKHBAR SINAR 30 APRIL 2010

Salam Pengakap,

Berita PPM Daerah Pudu didalam akhbar Sinar 30 April 2010.