Salam Pengakap;
Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kehadrat ILLAHI diatas limpah kurnia dan perkenanNYA untuk saya selaku Ketua Kontinjen Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seluruh ahli kontinjen menghadirkan diri ke program bersejarah Jambori Kebudayaan Serumpun Malaysia Dan Indonesia yang telah selamat berlangsung di perkarangan Istano Basa Rajo Alam Pagaruyuang, Batu Sangkar, Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia yang bermula pada tanggal 8 haribulan Jun 2010 dan berakhir pada tanggal 12 haribulan Jun 2010 yang lalu.
Banyak usaha dan sokongan telah diberikan dari pelbagai pihak terutama sekali dari rakan-rakan kepimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Pudu dan pastinya sokongan padu dari Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak pernah padam. Sesungguhnya kerjasama berpasukan sebeginilahlah yang telah memungkinkan kejayaan terlaksananya misi besar bersama ini.
Ucapan sebesar-besar jutaan terima kasih saya tujukan kepada semua pihak yang tidak dapat saya senaraikan disini yang telah menyokong dan membantu saya dalam merealisasikan misi khas ini. Semoga ALLAH SWT sahajalah yang akan membalas budi baik dan pertolongan saudara dan saudari dengan sebaik-baik balasan. Amin.
Ucapan syabas saya khas kepada semua ahli kontinjen yang telah melibatkan diri saudara dan saudari ke program yang bersejarah ini. Saya yakin banyak permata-permata yang telah kita sama-sama kutip disepanjang perjalanan yang sangat singkat itu. Saya doakan semoga permata-permata itu kelak akan mampu menjadi penyuluh dan pedoman saudara dan saudari dalam menjalani hidup didunia yang sementara ini. Sangat indah pengalaman dan kenangan yang berlalu yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Simpanlah memori-memori manis itu dalam lipatan sejarah kehidupan masing-masing untuk tatapan warisan yang terkemudian. Kukuhkan ukhwah yang telah terbina, lapangkanlah dada, percaya kepada kemampuan diri sendiri dan kemudian pandanglah kepada mereka yang memerlukan.
Akhirnya dapatlah kiranya para pelawat laman ini saya kongsikan cebisan kecil ceritera Jambori bersejarah yang telah berlangsung di `Ranah Minangkabau' yang bertuah. Bumi milik ALLAH SWT yang pada hemat saya banyak terdapatnya kesempurnaan dalam melayari bahtera kehidupan dan berterusan menjanjikan ketenangan diri. `Adaik Basandikan Syarak, Syarak Basandikan Kitabullah'. Itulah kata-kata keramat yang dipegang utuh oleh bangsa keturunan Minangkabau dari dahulu.
Sekian.
Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pudu
MAJLIS PERASMIAN JAMBORI KEBUDAYAAN SERUMPUN MALAYSIA DAN INDONESIA JAM 11.00 PAGI, TANGGAL 8 JUN 2010, DI HADAPAN ISTANO BASA PAGARUYUANG
SEBAHAGIAN PEMANDANGAN DI PERSEKITARAN BUMI PERKHEMAHAN JAMBORI KEBUDAYAAN SERUMPUN
LAWATAN SAMBIL BERLAJAR KE BERBERAPA TEMPAT BERSEJARAH, MENARIK DAN UNIK DISERATA `RANAH MINANGKABAU'
PROGRAM KAMPUNG `MALINDO' BERTEMAKAN `DEKAT DI MATA DEKAT DI HATI'
MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN BANTUAN KEWANGAN PEMBINAAN SURAU KAMPUNG DESA PARIT PANJANG, MATUR, BUKIT TINGGI, SUMATERA BARAT. IHSAN OLEH KEPIMPINAN PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA DAERAH PUDU
KURSUS TIDAK FORMAL KAEDAH PENANAMAN PADI SECARA TRADISIONAL OLEH MASYARAKAT PETANI MINANGKABAU
No comments:
Post a Comment